Keluarnya Lajim Ukin dari Barisan
Nasional sebenarnya merupakan satu kesyukuran kepada kepimpinan yang
sedia ada. Itu pendapat penulis.
Sungguhpun begitu, tidak boleh
dinafikan, ia tetap menjejaskan Barisan Nasional. Cuma, samada tindakan
Lajim Ukin itu memberi impak yang maksima, atau minima, tergantung
kepada kredibiliti empunya diri.
Perlu kita kenali bahawa suasana politik
di Sabah agak berbeza dengan di Semenanjung. Walaupun populariti
seseorang pemimpin tidak boleh ditolak begitu sahaja, kebanyakkan rakyat
Sabah lebih mementingkan sebuah parti yang besar dan berpengaruh untuk
menjamin masa depan mereka.
Keadaan muka bumi dan sosio-ekonomi
Sabah mempengaruhi pengundinya, dan hanya parti yang mampu menawarkan
pembangunan serta kemajuan menjadi pilihan mereka. Jadi, agak sukar
untuk sebuah parti baru, dan kecil pimpinan Lajim untuk diterima dengan
mudah oleh penduduk Sabah.
Bukan bersifat bongkak atau sombong
serta menafikan “pengaruh” Lajim Ukin dalam isu ini, tetapi penulis
melihat ianya lebih membantu Barisan Nasional, dalam proses penyusunan
strategi bagi menghadapai PRU yang akan datang.
Adalah lebih elok perkara ini terjadi
pada masa sekarang berbanding sewaktu menjelang PRU nanti, atau ketika
waktu berkempen. Itu lebih menyukarkan pimpinan BN.
Sudah menjadi musuh politik yang nyata,
ianya pasti lebih jelas, dan kurang berbahaya seandainya dibandingkan
dengan “gunting dalam lipatan”. Golongan ini lebih berbahaya,
sebagaimana yang terpaksa ditempuh oleh Najib Razak sepanjang
mengambilalih tampuk pemerintahan negara akibat terdapatnya
proksi-proksi PR di dalam pentadbiran negara yang cuba, dengan sedaya
upaya, membuka ruang dan peluang pemimpin pembangkang untuk “menyerang”
kerajaan.
Kerajaan tidak mampu dianggotai oleh “talam dua muka”, apatah lagi pembangkang tidak bersifat kontruktif, tetapi destruktif.
Sekurang-kurangnya, dengan apa yang
berlaku ini, kepimpinan BN masih punya masa untuk merangka strategi dan
mencari “panglima” bagi menggantikan Lajim Ukin. Dan andai cakap-cakap
politik yang mengatakan bahawa PRU 13 hanya akan berlangsung pada Mac
2014, maka BN ada sedikit masa yang panjang untuk tujuan tersebut.
Penulis yakin, di sebalik mendung hitam yang sedang berarak, ada sinar yang menanti terang.
Tiada ulasan:
Write commentsSila komen yang murni-murni saja di sini..