PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa menolak permohonan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis
Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata,
Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memperkenankan
permohonan Abdul Khalid sebagai Ketua Eksekutif di negeri itu bagi
tujuan berkenaan.
"Berdasarkan sistem Raja Berperlembagaan, Ketua Negara iaitu Yang
di-Pertuan Agong atau Ketua Negeri iaitu raja atau sultan mempunyai
kuasa budi bicara dalam soal pembubaran Parlimen atau DUN.
"Agong atau sultan boleh untuk tidak bersetuju dengan cadangan
Perdana Menteri atau Menteri Besar berdasarkan alasan dan pertimbangan
tertentu mengikut budi bicara mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.
Bagaimanapun Nik Ahmad Kamal berkata secara amalannya, agong atau
sultan akan memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen atau DUN
sekiranya wujud permohonan daripada Ketua Eksekutif.
"Dalam kes Selangor, sekiranya Sultan Selangor enggan bersetuju sudah
pasti ia akan menimbulkan satu konflik Perlembagaan dan menjadi
'precedent' kerana ia berlaku di luar amalan dan kebiasaan.
"Tambahan pula berdasarkan situasi semasa apabila tempoh matang DUN
Selangor hampir tamat pada April nanti. Jadi pastinya akan menimbulkan
masalah sekiranya permohonan untuk dibubarkan DUN ditolak," katanya.
Selain itu Nik Ahmad Kamal yang juga Penasihat Undang-Undang
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jawatan Yang di-Pertuan
Agong adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy
yakni raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau
salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang
dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi
bicaranya bagi melaksanakan tiga fungsi iaitu melantik seorang Perdana
Menteri; tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen dan
meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan
dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.
Peruntukan yang sama dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri menerusi
Jadual Kelapan Perkara 71 sebagai peruntukan tetap yang menyentuh
mengenai kuasa budi bicara seorang sultan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Abdul Khalid
bahawa Kerajaan Selangor sedia membubar DUN pada akhir Februari ini
iaitu selepas sambutan Chap Goh Mei, jika Kerajaan Pusat tidak
membubarkan Parlimen pada waktu itu nanti.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan berpendapat
Abdul Khalid tidak mempunyai saluran undang-undang sekiranya wujud
situasi apabila Sultan Selangor menolak permohonannya untuk membubarkan
DUN.
"Saya tidak dapat lihat secara realistiknya cara lain untuk Menteri
Besar Selangor membubarkan DUN sekiranya baginda tidak membenarkannya.
"Perkara ini mungkin boleh dibawa ke mahkamah, tetapi saya tidak rasa
ianya sesuatu yang Kerajaan Selangor ingin lakukan. Saya juga tidak
yakin sama ada keputusan akan berpihak kepada mereka," katanya yang juga
Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam
Malaysia.
Sumber: Mstar
Jangan duduk bawah tempurung. Queen England pun ada tak setuju. Janganlah nak kencing. Nih baca, belajar tinggi tinggi jadi professor kangkung undang undang:
BalasPadamPerkara 40 perlembagaan Persekutuan antaranya:
.........
(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,.......
Orang Malaysia belum bodoh lagi. Di internet bersepah pasal perlembagaan.