Selasa, 17 Januari 2012

Tun M Dah Bagi Signal..Harap Tuan AG Faham-Faham Sajalah Ye...

    11:06:00 PTG   No comments


KUALA LUMPUR: Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukar untuk mencari individu lain yang menang dalam membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang disabitkan terhadap mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata sejak didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008, tidak ada perkara lain yang didengar selama empat tahun itu selain daripada rayuan Anwar terhadap keputusan mahkamah berhubung dirinya dalam kes itu.

Namun, katanya, yang menjadi persoalan ialah, apabila Anwar yang juga ketua pembangkang didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini kerana tidak ada "mentahkikkan keterangan", hak mangsanya untuk membuat rayuan dipertikaikan.

"Apakah dalam negara ini pembesar pembangkang mempunyai hak istimewa bahawa keadilan hanya berlaku apabila ia didapati tidak bersalah?

"Apakah dalam negara ini mangsa yang kerdil tidak berhak kepada keadilan sehingga dia tidak boleh merayu untuk didengar oleh mahkamah yang lebih tinggi?," kata Dr Mahathir dalam entri terbaru blognya berjudul "Hak Merayu" , Selasa.

Entri itu dipercayai merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang membidas Mohd Saiful Bukhari dan bapanya Azlan Mohd Lazim kerana memohon supaya Peguam Negara membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan Anwar tidak bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 9 Jan lepas.

Dr Mahathir mempersoalkan apakah keengganan pembesar pembangkang mengangkat sumpah bukan sahaja di masjid dengan menjunjung Al-Quran tetapi semasa dibicara dalam mahkamah biasa tidak mempunyai apa-apa makna terutama kepada orang Islam.Pada Jumaat 18 Ogos 2008, Mohd Saiful Bukhari mengangkat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan mendakwa Anwar telah meliwat dirinya dalam keadaan paksa.

"...dan apakah sumpah laknat oleh si kerdil juga tidak boleh diambil kira," soal Dr Mahathir.

Beliau berkata jika keputusan mahkamah baru-baru ini tidak menyebelahi Anwar, beliau percaya penasihat Parti Keadilan Rakyat itu akan membuat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi.
Menurutnya dari awal perbicaraan kes itu lagi, Anwar telah menuntut supaya hakim ditukar kerana kononnya berat sebelah sehingga perbicaraan ditangguh berbulan-bulan sementara tuntutannya ditimbang kerana mahkamah terpaksa menentukan tarikh untuk mendengar rayuannya.

"Jika keputusan yang dibuat baru-baru ini mendapati Anwar bersalah, percayalah dia akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan jika Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi, maka Anwar akan rayu kepada Mahkamah Persekutuan.

"Jika Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, maka Anwar akan tuntut untuk kesnya dibawa kepada Mahkamah Khas,"katanya.

Dr Mahathir turut mempersoalkan apakah menjadi satu daripada perjuangan pakatan pembangkang, sepertimana yang disarankan Anwar dalam wawancara dengan BBC di Mumbai India baru-baru ini, bahawa undang-undang negara sudah lapuk dan perlu ditukar.

Dalam sesi wawancara itu, Anwar ketika menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia untuk menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", berkata terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai relevan. - BERNAMA

Wak Jengkol

Tentang Wak Jengkol

A Low Profile Blogger.

Previous
Next Post
Tiada ulasan:
Write comments

Tak nak ada masalah dikemudian hari, sila komen yang murni-murni je di sin..

Get updates in your email box

Complete the form below, and we'll send you our recent update.

Deliver via FeedBurner
© 2017 Wak Jengkol. WP Theme-junkie. Designed by Bloggertheme9
Proudly Powered by Blogger.