Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN)
negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau yakin selepas melihat rakyat tidak
lagi mahu memilih pemimpin yang tidak mempunyai kredibiliti dan juga dibebani
dengan masalah peribadi yang serius.
Malah, kerajaan negeri sekarang juga dilihat
melakukan banyak pembohongan besar dan kezaliman terhadap rakyat negeri itu
selain janji pilihan raya yang masih belum ditunaikan.
"Macam ahli Parlimen Gombak, Saudara
Azmin Ali. Saya tak mahu ulas dia derhaka atau tidak kepada ibunya. Saya rasa,
dia nak lalu di Batu Caves pun tak berani nak angkat muka. Mungkin teringatkan
kisah Si Tanggang.
"Tapi apa yang nak saya katakan ialah
Azmin ni hipokrit. Ingat masa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)
mencadangkan agar elaun Ahli-Ahli Parlimen dinaikkan dalam sesi pembentangan
Belanjawan yang lepas. Itupun kata Datuk Najib kalau pembangkang setuju.
"Bila elaun Ahli Parlimen naik semua
dapat, tak kira PKR ke Pas ke, semua dapat. Tapi Azmin nak jadi jaguh menolak
cadangan Datuk Najib.
"Dia cakap: 'Kami tidak setuju elaun
Ahli Parlimen dinaikkan. Ahli Parlimen mesti berjuang untuk rakyat. Mesti
berkorban untuk rakyat." Wah! Semangat dia cakap.
"Tapi di DUN (Selangor), tak sampai tiga
tahun memerintah, diam-diam, elaun ADUN-ADUN Selangor dinaikkan. Sidang DUN
luluskan bulan April siap 'backdated' ke bulan satu (Januari)," kata Noh
dalam ceramah Pentas Rakyat, Sayangi Selangor di Kampung Wira Damai, Batu Caves
di sini malam tadi.
Turut hadir Ahli Parlimen Kulim-Bandar
Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama
Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri
Asas Tani menambah, kerajaan Selangor turut menipu rakyat Selangor dengan
melaungkan kecekapan pimpinan pakatan pembangkang di negeri itu, yang berjaya
membawa hasil kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Dakwa Noh, melalui lidah rasmi kerajaan
negeri, SelangorKini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan simpanan
tetap PKPS telah meningkat ke RM114 juta pada 2011 berbanding RM8.3 juta pada
2008 semasa pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor.
"Tapi, saya nak beritahu, ini
pembohongan yang dibuat. Keuntungan yang diperoleh RM114 juta bukan didapati
melalui aktiviti pertanian PKPS. Saya nak jugak tahu apa kepakaran yang mereka
pakai sehingga boleh dapat keuntungan RM90 juta lebih dalam tempoh tiga tahun.
"Apa pun, selepas diselidiki, mereka
jual tanah di Miri, Sarawak. Kita ada butir, duit yang dibayar RM92.15 juta
melalui Bank Muamalat pada 8 September 2010.
"Ini dia tak cerita. Bayaran kedua RM2
juta pada 10 Oktober 2011. Susah apa nak untung kalau jual tanah. Tapi dia
bohong kata keuntungan atas aktiviti pertanian PKPS, Inilah kerja kerajaan PKR.
“Tu tak cerita lagi jual tanah Yayasan Selangor,
jual tanah PKNS, tak cukup... jual tanah loji najis dekat Serdang," tegas
Noh.
Dalam pada itu, Noh turut membidas Khalid
kerana mengamalkan kezaliman dengan menghalau 25 pengusaha pertanian di Bestari
Jaya yang berjaya menghasilkan RM25 juta hasil-hasil pertanian.
"Kementerian saya dah belanja
berpuluh-puluh juta memberi modal membangunkan kawasan tersebut, tiba-tiba dua
bulan lepas, keluar notis suruh halau usahawan-usahawan ini kalau tidak
tindakan mahkamah akan diambil dan suruh usahawan-usahawan ini tanggung sendiri
kos yang dikeluarkan.
“Kenapa? Ini kerana dia nak rampas tanah
rakyat.
Tiada ulasan:
Write commentsSila komen yang murni-murni saja di sini..