Slogan "telus, amanah dan perbelanjaan
berhemah' yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS hanya
indah di bibir sahaja apabila Laporan Ketua Audit Negara 2011
membuktikan terlalu banyak ketirisan dalam pentadbiran kerajaan negeri,
kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md
Hanipah.
Beliau berkata ibarat cacing kepanasan, kerajaan negeri Kedah
terpaksa menyorok muka mereka kerana malu dengan pendedahan audit
berkenaan.
"Mereka bercakap tentang pentadbiran telus, mengkritik kerajaan
Barisan Nasional dengan pelbagai dakwaan, tetapi sekarang mereka sendiri
didapati melakukan penyelewengan projek pembalakan di luar negara dan
penyelenggaraan projek perumahan rakyat," katanya dalam satu kenyataan
di sini, Jumaat.
Ahmad Bashah mengulas laporan audit tentang pelaburan projek balak
yang merugikan di Papua New Guinea memaksa syarikat berkaitan kerajaan
(GLC) yang terlibat meminjam sehingga RM135 juta serta projek
penyelenggaraan perumahan awam kos rendah yang dilaporkan membabitkan
pemberian kontrak dan pembayaran meragukan.
Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco
kerajaan negeri patut meminta maaf kepada rakyat kerana salah mengurus
pentadbiran negeri dan anak syarikat yang berada di bawah Perbadanan
Menteri Besar.
Ahmad Bashah berkata semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri
yang lepas, Azizan pernah berkata kerugian pelaburan projek balak itu
adalah perkara biasa dalam perniagaan.
"Semasa menjawab soalan itu beliau memandang ringan tentang kerugian
tersebut dan menjawab soalan itu dengan tiada rasa tanggungjawab.
Sekarang kita melihat kerugian melebihi daripada RM4 juta seperti yang
dimaklumkan kerajaan negeri sebelum ini.
"Mereka sudah tidak dapat sembunyikan fakta bahawa projek itu adalah
satu bencana, bukan setakat kerugian kewangan yang melibatkan duit
rakyat Kedah tetapi mendedahkan hakikat ketidakupayaan kerajaan negeri
mentadbir dengan baik," katanya.
Ahmad Bashah berkata Umno Kedah pernah melaporkan kes pembalakan itu
kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak pasti
perkembangan kes selepas itu.
"Dengan perkembangan terbaharu daripada laporan audit itu, SPRM boleh
melihat semula kes tersebut dan siasat sama ada wujud penyelewengan
oleh mana-mana pihak," katanya.
Beliau mendakwa banyak lagi perkara
berkaitan kerajaan negeri yang meragukan termasuk premium balak dan
pendapatan daripada hasil bijih besi dan menurutnya isu berkenaan akan
dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan bermula
pada 20 November ini.
"Saya ada membaca komen seorang Exco kerajaan negeri dalam sebuah
akhbar apabila beliau mengulas laporan audit yang menyebut tentang
kelemahan pengurusan GLC di mana Exco itu masih bersikap menyalahkan
kerajaan terdahulu.
"Pesanan saya kepada kerajaan negeri, bangunlah dari tidur... anda
sudah menjadi kerajaan lebih empat tahun dan GLC sudah dirungkai dengan
bermacam-macam cara. Bertangungjawablah dengan tindakan anda," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Write commentsSila komen yang murni-murni saja di sini..