SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pengundi India di
kawasan Parlimen Shah Alam sudah menerima dan menyokong calon Barisan
Nasional (BN) Datuk Zulkifli Noordin pada Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13).
Perdana Menteri berkata ada di antara masyarakat India yang sampai telah mencium Zulkifli.
"Soal cakap 10 tahun dulu, Zukifli sudah meminta maaf dan orang India
terima dan cium dia," katanya dalam ucapan ringkas ketika melawat Pusat
Daerah Mengundi Seksyen 18 Timur di sini Isnin. Gambar Zulkifli dicium
oleh seorang pemuda India pada hari penamaan calon tersebar luas apabila
dimuatkan di facebook.
Turut mengiringi dalam lawatan Najib petang ini ialah isteri beliau
Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh
Omar dan Zulkifli.
Pada 1 April, Zulkifli memohon maaf kepada penganut agama Hindu dan
mengakui pernah membuat ucapan yang mempersenda agama itu tetapi beliau
telah mengakui kesilapannya kerana ucapan itu telah dibuatnya 10 tahun
lalu ketika beliau masih berada dalam PAS.
Najib berkata semangat tinggi yang ditunjukkan oleh para pekerja
parti dalam jentera pilihan raya BN Shah Alam boleh membantu BN merampas
kembali kerusi Parlimen Shah Alam serta dua kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga dari tangan pembangkang.
Jentera BN perlu berusaha keras merampas kembali Selangor pada PRU13
dan ia adalah penting bagi BN kerana sebahagian besar kekayaan negara
bertumpu di negeri itu.
"Kerajaan Selangor telah menghalang projek loji air Langat 2 dan kita
akan menghadapi masalah air bersih jika kita tidak ambil alih Selangor
ini.
"Demi perjuangan negara, kita akan berjuang habis-habisan," katanya disambut sorakan gemuruh oleh jentera BN Shah Alam.
Najib turut berikrar untuk menjaga kebajikan orang India di kawasan Shah Alam dan akan memenuhi permintaan mereka.
Hujan lebat semasa lawatan Perdana Menteri tidak menghalang penduduk
di Seksyen 18, daripada keluar beramai-ramai untuk mendekati dan
beramah-mesra dengan Najib.
Sebahagian daripada mereka tidak berganjak dari tempat duduk
masing-masing untuk mendengar sendiri ucapan dan nasihat Najib, yang
juga Pengerusi BN Selangor.
Seorang anggota Pergerakan Puteri Umno dari cawangan Seksyen 18
Timur, Nurul Aqmal Mohd Amin berkesempatan memotong kek sempena hari
jadinya ke-25 sambil disaksikan Najib dan Rosmah pada acara itu.
Najib dan Rosmah turut menjamu selera bersama penduduk tempatan pada akhir lawatannya itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Write commentsSila komen yang murni-murni saja di sini..