Selasa, 23 April 2013

PRU13: Najib Tambah Dua Lagi Akujanji Demi Kesejahteraan Rakyat Selangor

    10:00:00 PG   2 comments

pru13-najib-bertemu-pengundi

SUNGAI BULOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam Isnin mengumumkan dua Aku Janji tambahan untuk Selangor, termasuk mengkaji semula kadar pertukaran syarat kegunaan tanah dari pertanian kepada perindustrian untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Selangor.

Beliau berkata pada masa kini kadar tukar syarat tanah yang dikenakan kepada SME di Selangor oleh kerajaan pakatan pembangkang adalah tinggi dan BN akan mengkaji untuk menurunkannya.

Selain itu, katanya, BN juga akan membuat jalan baru di kawasan perindustrian SME di sini memandangkan jalan utama di kawasan perusahaan yang kedua terbesar di dalam negara itu tidak lagi sesuai.

"Mula-mula saya hendak naik bas ke sini tetapi tidak boleh kerana jalan sempit, oleh itu saya nak bawa salah satu daripada tambahan Aku Janji kalau BN berkuasa balik di Selangor kita buat jalan baharu untuk kawasan SME di sini," katanya ketika berucap pada majlis bertemu rakyat di Kampung Baru Sungai Buloh.

Najib berkata sekiranya manifesto pakatan pembangkang yang mahu meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM4,000 sebulan, maka negara dan pengusaha SME khususnya juga boleh jatuh bankrap kerana tidak mampu membayar gaji pekerja mereka.

"Kita hendak bagi gaji minimum RM900 sebulan pun SME kata nanti mereka bankrap, bayangkan kalau RM4,000 adakah anda mampu, anda bekerja keras tapi kalau kena bayar RM4,000 setiap bulan...anda akan jadi bankrap," katanya.

Beliau berkata pengusaha SME mahu perniagaan mereka berkembang dari semasa ke semasa dan bertambah kukuh tetapi jika mereka terpaksa membayar gaji setiap pekerja sebanyak RM4,000 sebulan sudah pasti mereka akan bankrap.

"Sepatutnya lebihan untung yang mereka perolehi boleh dilaburkan untuk membina kilang-kilang baharu dengan mesin terkini supaya perniagaan mereka boleh menjadi lebih kukuh dan mereka akan mampu membayar gaji yang lebih baik untuk pekerja mereka," katanya.

Najib berkata manifesto pembangkang adalah dokumen yang tidak bertanggungjawab dan boleh membawa kepada kehancuran ekonomi tetapi BN adalah sebaliknya yang sentiasa mahu membantu rakyatnya.

"Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat, sebagai perdana menteri, saya tidak akan membenarkan negara ini hancur semata-mata hanya kerana mahu undi daripada rakyat.

"Saya adalah pemimpin yang mengambil berat tentang negara ini. Saya akan sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan negara ini diurus dengan baik," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor, berharap agar rakyat tidak terus terpedaya dan tertipu selamanya dengan dakyah pembangkang yang sebenarnya tidak sepakat dan berbeza ideologi.

"Aanda boleh menipu rakyat sekali tetapi anda tidak boleh menipo orang sepanjang masa...satu kapal tidak boleh ada tiga kapten, manifesto mereka tidak sebut pasal orang India, tetapi kita banyak sebut pasal orang India.

"Sebab itu sekarang orang India semua sokong, Hindraf pun sudah sokong kita, dulu mereka menentang tetapi sekarang sokong kerana dia ada 'nambikei' iaitu kepercayaan dengan BN sebab kita sudah buat banyak untuk orang India," katanya.

Beliau berkata orang Cina, Melayu dan India di negara ini harus bekerjasama sebagai satu keluarga supaya negara akan kekal aman dan harmoni.

"Kalau bergaduh sesama kita, negara hancur, perniagaan pun hancur, bisnes habis, ekonomi dan saham pun jatuh, kalau nak berjaya perlu mewujudkan persekitaran yang aman dan harmoni," katanya.- BERNAMA

WakJ Zoner

Tentang WakJ Zoner

Seorang blogger kacak, kaya dengan senyuman dan sangat merendah diri. Ingin berkenalan sila PM wak di wakjon9@gmail.com

Previous
Next Post
2 ulasan:
Write comments
  1. masalah Najib sekarang anak melayu ja tak mengenang jasa dan budi...dah macam2 kerajaan pimpinan BN buat untuk rakyat, tetap juga mereka nak menentang kerajaan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tak mengapa..lama kelamaan budi yang baik akan dibalas jua..yg penting hati mau ikhlas masa buat kerja...

      Padam

Sila komen yang murni-murni saja di sini..

Get updates in your email box

Complete the form below, and we'll send you our recent update.

Deliver via FeedBurner
© 2017 Wak Jengkol. WP Theme-junkie. Designed by Bloggertheme9
Proudly Powered by Blogger.