Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa
mengemukakan petisyen pengampunan diraja kepada Yang di-Pertuan Agong
terhadap sabitan kesalahan kes liwat II Ketua Pembangkang itu.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata petisyen
itu telah diserahkan kepada pihak istana di Istana Negara pada kira-kira
pukul 3.30 petang ini.
Petisyen telah dikemukakan di bawah peraturan 113, Peraturan Penjara 2000, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mengikut peraturan itu banduan jika hendak, boleh membuat petisyen
kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja atau Yang Dipertua Negeri
seberapa segera selepas sabitan. Kemudiannya selepas tiga tahun dari
tarikh sabitan dan selepas itu, lat dua tahun.
Sementara itu, pihak Istana Negara mengesahkan telah menerima petisyen itu petang ini.
Tian Chua berkata petisyen itu dibuat atas faktor bahawa keluarga Anwar
percaya ada penyelewengan dalam sistem pengadilan ketika dia (Anwar)
disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan, 34.
"Dengan ini petisyen berkenaan meminta pihak istana campur tangan bagi memberi pengampunan kepada Anwar," katanya.
Tian Chua berkata satu salinan petisyen telah diserahkan kepada Yang
Dipertua Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini petang ini.
Naib Presiden PKR itu menjelaskan bahawa petisyen itu dikemukakan atas
dasar mendapatkan keadilan untuk Ketua Pembangkang itu dan bukan atas
dasar kerana mahu kedudukan Anwar sebagai anggota parlimen Permatang
Pauh dipertahankan.
"Kedudukannya sebagai anggota Parlimen bukan lagi isu, terpulang kepada
Speaker Dewan mahu membatalkannya, ini soal keadilan kepadanya,"
katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Write commentsSila komen yang murni-murni saja di sini..