Khamis, 10 Januari 2013

Percanggahan Syarat, Kerajaan Negeri Selangor Tidak Berhak Ambil Alih SYABAS

    10:51:00 PTG   No comments


PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Selangor tidak boleh mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana ia bercanggah dengan syarat-syarat dalam perjanjian konsesi, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata syarikat konsesi bekalan air itu dilantik mengurus dan mentadbir air di Selangor pada tahun 2004, dan sebarang penamatan kontrak boleh menyebabkan kerajaan negeri Selangor disaman.
Chin berkata kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR yang bertegas mahu mengambil alih syarikat konsesi air itu harus mengadakan rundingan dengan Syabas dan urusan pengambilalihan hanya boleh dilaksana jika Syabas bersetuju.

"Saya ingin memberitahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa kerajaan persekutuan tidak pernah menghalang kerajaan negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana kerajaan persekutuan tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam syarikat Syabas kecuali golden share untuk membuat pemantauan," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Khalid yang mencadangkan untuk menamatkan perjanjian konsesi dengan Syabas dan seterusnya mengambil alih operasi syarikat Syabas berikutan krisis air di 90 kawasan sehingga menjejaskan hampir setengah juta pengguna.

Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang berlaku berikutan pengurangan kadar pengepaman air dari Rumah Pam Wangsa Maju sebanyak 30 juta liter sehari (JLH) untuk mengelak kerosakan berulang akibat lebihan bebanan.

Sehubungan itu, Chin mahu kerajaan Selangor berhenti menuding jari dan menyalahkan Syabas dalam isu krisis air.

"Ini bukan isu ambil alih tetapi semua pihak iaitu kerajaan negeri, Syabas dan kerajaan persekutuan harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian agar ia (krisis air) tidak berulang pada masa akan datang kerana air adalah keperluan rakyat.

"Kerajaan persekutuan sentiasa bersedia untuk membantu dalam pelbagai bentuk dan merancang keperluan air pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua memberi jaminan masalah gangguan air boleh diatasi selewat-lewatnya Isnin depan.

Beliau berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan Syabas untuk memasang paip pintasan bagi membolehkan air dibekal secara graviti dari Kolam Air Dusun Kubong ke Kolam Sedut AU3 Baru dan AU3 Lama.

"Kerja-kerja pemasangan paip pintasan mulai dilaksana malam kelmarin dan dijangka siap dalam tempoh lima hari. Apabila siap, bekalan air akan dibekalkan ke kedua-dua kolam sedut itu tanpa melalui Rumah Pam Wangsa Maju," katanya. BERNAMA

WakJ Zoner

Tentang WakJ Zoner

Seorang blogger kacak, kaya dengan senyuman dan sangat merendah diri. Ingin berkenalan sila PM wak di wakjon9@gmail.com

Previous
Next Post
Tiada ulasan:
Write comments

Sila komen yang murni-murni saja di sini..

Get updates in your email box

Complete the form below, and we'll send you our recent update.

Deliver via FeedBurner
© 2017 Wak Jengkol. WP Theme-junkie. Designed by Bloggertheme9
Proudly Powered by Blogger.